MELAKA: Seekor zirafah dari Afrika yang akan dibawa masuk ke Zoo Melaka minggu hadapan antara tarikan baharu zoo berkenaan bagi menarik kedatangan pengunjung khususnya menjelang Tahun Melaka Melaka 2024 (TMM 2024).

Yang DiPertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) Datin Sapiah Haron berkata zirafah betina bernilai lebih RM200,000 itu dibawa masuk menerusi inisiatif menaik taraf Zoo Melaka yang melibatkan peruntukan lebih RM1 juta termasuk penambahbaikan habitat haiwan, fasiliti pengunjung dan penambahan haiwan baharu.

"Kita dalam proses menggantikan kandang haiwan yang lama atau rosak, manakala kandang Harimau Malaya dan gajah antara kandang terbaharu siap dibaiki yang bukan sahaja untuk keselesaan haiwan malah menceriakan kawasan zoo.

"Zirafah betina berkenaan dijangka tiba pada malam raya sekali gus akan meningkatkan kehadiran pengunjung ke Zoo Melaka pada cuti perayaan Aidilfitri ini," katanya dan menambah Zoo Melaka pada masa ini hanya memiliki seekor zirafah jantan.

Beliau ditemui pemberita pada Program Masih Ada Yang Sayang MPHTJ iaitu membawa 30 anak yatim dan asnaf dari enam kawasan Dewan Undangan Negeri di bawah pentadbiran MPHTJ membeli pakaian sempena Aidilfitri di sebuah pusat membeli-belah di sini semalam.

Sapiah berkata selain Zoo Melaka, produk pelancongan lain yang akan dinaik taraf sebelum TMM 2024 ialah Taman Burung di Ayer Keroh di sini dengan dijangka dibuka semula kepada pengunjung pada November depan.

Beliau berkata kerja menaik taraf dan membaiki kerosakan di taman burung berkenaan akan dilaksanakan oleh operator baharu yang telah dilantik selepas Aidilfitri ini.

"Kita juga sedang menaik taraf pintu masuk ke Melaka dalam pelbagai aspek seperti pencahayaan dan landskap sebagai persediaan menyambut kedatangan pelancong pada TMM 2024," katanya.

Mengenai program Masih Ada Yang Sayang MPHTJ, beliau berkata ia adalah acara tahunan sempena hari raya yang bertujuan berkongsi rezeki dan meringankan beban kewangan keluarga kurang berkemampuan menyediakan persiapan Aidilfitri untuk anak-anak mereka.

-- BERNAMA